Pokok Langsat merupakan sejenis tumbuhan yang berasal daripada hutan Semanjung Malaysia, dan kini ditumbuh secara meluas di kawasan-kawasan tropika disebabkan buahnya yang manis. Pokok ini kini juga didapati di negara-negara ASEAN yang lain. Nama botaninya Lansium domesticum Jack. [1]
Warna kulitnya adalah antara kuning dan coklat, dan seringnya bertompok-tompok, dengan tekstur yang licin atau lekit-lekit. Apabila kulitnya dikopek, isinya yang terdiri daripada hiris-hiris yang berasingan didedahkan. Isinya yang lut cahaya adalah manis, tetapi biji-bijinya adalah pahit dan tidak dimakan.
Nama spesies lain atau nama lain untuk langsat: dokong, duku, lansa, langseh, langsep, lanzon, lanzone, lansone, duku, atau kokosan.
Penyakit
Kerumping pada tanaman langsat adalah merupakan masalah utama kerana ia boleh membantutkan pertumbuhan dan pembesaran ranting, mengakibatkan keguguran daun dan kematian ranting & pucuk.Serangan selalunya bermula dari paras pangkal pokok. Serangan yang teruk pada dahan dan batang akan menjejaskan pengeluaran bunga dan buah.Biasenya penyakit ini dikaitkan dengan dua jenis ulat pengorek kulit iaitu Doloessa viridis & Anarisia sp.
Durian
Durian ialah spesies beberapa jenis tumbuhan dalam genus Durio[2] yang menghasilkan buah beraroma kuat yang boleh dimakan. Ia amat terkenal di Asia Tenggara di mana ia digelar "raja buah". Saiznya besar, baunya unik dan isinya dilindungi oleh kulit yang berserat dan berduri. Daripada duri itulah ia mendapat namanya.[3] Buah durian boleh membesar sehingga 30 sentimeter (12 inci) panjang dan 15 cm (6 in) diameter, dan lazimnya seberat satu hingga tiga kilogram (2 hingga 7 lb). Bentuknya berbeza daripada bujur hingga bulat, warna kulitnya daripada hijau hingga perang, dan isinya daripada kuning pucat hingga merah, bergantung kepada spesies.
Durian ialah buah tropikal yang berasal dari Brunei, Filipina, Indonesia dan Malaysia, tetapi telah dikenali di dunia Barat sekitar 600 tahun. Ahli alamiah British abad ke-19 Alfred Russel Wallace masyhur memerikan isi buah ini sebagai "kastard kaya dengan rasa badam". Buah ini boleh dimakan walaupun belum betul-betul masak, dan digunakan sebagai perisa kepada pelbagai jenis makanan berperisa dan manis dalam masakan Asia Tenggara. Bijinya juga boleh dimakan jika dimasak.
Isi buah ini mengeluarkan bau yang tersendiri, kuat dan tajam walaupun kulitnya belum dibuka. Sesetengah orang menganggap bau durian sebagai semerbak; manakala yang lain berasa aromanya amat kuat dan tidak dapat ditahan. Baunya menarik reaksi daripada penikmatan mendalam kepada amat jijik, dan telah diperikan serupa dengan bau badam, bawang busuk, turpentin dan stokin gim. Bau ini telah menyebabkan larangan buah ini daripada sesetengah hotel dan pengangkutan awam di Asia Tenggara.
Terdapat lebih 30 jenis spesies Durio yang diiktiraf, sekurang-kurangnya sembilan daripadanya menghasilkan buah yang boleh dimakan. Durio zibethinus merupakan satu-satunya spesies yang boleh diperolehi di pasaran antarabangsa: spesies lain hanya dijual untuk pasaran tempatan. Bagaimanapun terdapat ratusan kultivar durian; banyak pelanggan sukakan kultivar tertentu, yang membuatkan harganya berbeza-beza di pasaran.
Spesies
Pokok durian bersaiz besar, dengan ketinggian 25–50 meter (80–164 kaki) mengikut spesies.[4] Daunnya malar hijau, berbentuk eliptik ke oblong dan 10–18 cm (4–7 in) panjang. Bunganya terhasil dalam gugusan tiga hingga tiga puluh di dahan besar dan juga batang, dengan setiap bunga mempunyai kaliks (sepal) dan lima (jarang empat atau enam) ranggi. Durian boleh berbunga dan berbuah sekali atau dua kali setahun, bergantung kepada spesies, kultivar dan lokasi. Pokok ini lazimnya boleh berbuah selepas 4-5 tahun. Buahnya boleh tergantung daripada sebarang cabang, dan akan masak kira-kira tiga bulan selepas pendebungaan. Pada kebiasaan, buah durian boleh mencapai 30 cm (12 in) panjang dan 15 cm (6 in) diameter, dan seberat 1 hingga 3 kilogram (2–7 lb).[4] menjadikan ladang durian sebagai kawasan berbahaya pada musim durian. Sebiji durian jika jatuh di atas kepala seseorang mampu menyebabkan kecederaan teruk atau membawa kepada kematian.Selain Durio zibethinus, lapan spesies lain yang dikenal pasti boleh dimakan ialah D. dulcis, D. grandiflorus, D. graveolens, D. kutejensis, D. lowianus, D. macrantha, D. oxleyanus dan D. testudinarum.[5] Bagaimanapun, masih ada spesies yang tidak dikaji dengan teliti, jadi mungkin ada lagi spesies lain yang buahnya boleh dimakan.[4]
Durian, khususnya D. zibethinus, didebungakan secara terbuka, dan dengan itu menunjukkan banyak kepelbagaian dalam warna dan bau buah, saiz biji dan isi, dan fenologi pokok. Nama spesies zibethinus merujuk kepada musang kesturi, Viverra zibetha. Terdapat perselisihan sama ada nama ini, yang diberikan oleh Linnaeus, merujuk kepada sifat musang ini yang sangat sukakan durian sehingga buah ini digunakan sebagai umpan menangkapnya, atau kepada bau durian yang seperti bau musang kesturi.[6]
Bunga durian besar dan berbulu dengan nektar banyak, dan mengeluarkan bau bermentega, masam dan berat. Ciri ini biasa untuk bunga yang didebungakan oleh spesies tertentu kelawar yang memakan nektar dan debunga.[7] Mengikut kajian yang dijalankan di Malaysia pada 1970-an, durian didebungakan hampir sepenuhnya oleh kelawar buah gua (Eonycteris spelaea).[4] Namun, satu kajian 1996 menunjukkan dua spesies, D. grandiflorus dan D. oblongus, didebungakan oleh burung Arachnothera (Nectariniidae) manakala satu lagi spesies, D. kutejensis, didebungakan oleh lebah tualang dan burung selain kelawar.[8]
Kultivar
Terdapat banyak klon durian, kesemuanya mempunyai nama bermula dengan "D" dan diikuti dengan nombor. Sebagai contoh, sebahagian klon popular adalah D24, D99 (Kop Kecil), D158 (Kan Yao), D159 (Mon Thong) dan D197 (Raja Kunyit). Nombor D diberikan untuk membezakan mereka daripada "piawaian" jenis liar. Setiap kultivar memiliki rasa dan bau berlainan.
Lebih 200 kultivar D. zibethinus wujud di Thailand. Mon Thong paling dicari secara komersil disebabkan isinya yang sederhana manis dan penuh berkrim dengan bau yang tidak begitu kuat dan biji kecil. Manakala Chanee yang terbaik daripada segi tahan jangkitan oleh Phytophthora palmivora. Selain dua kultivar ini, Kan Yao, Ruang dan Kradum juga ditanam secara komersil skala besar.[10] Di Malaysia pula, terdapat sekurang-kurangnya 199 klon durian yang telah didaftarkan[11][12] dan banyak kultivar baik dikenalpasti melalui pertandingan tahunan dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA). Di Vietnam, proses sama turut dilakukan melalui pertandingan anjuran Institut Penyelidikan Buah Selatan. Varieti popular kini ialah D24 dan D101.[13]
Sehingga 2007, Songpol Somsri, seorang ahli sains kerajaan Thai, telah mengacuk lebih 90 klon durian bagi mencipta Chantaburi No. 1, suatu kultivar tanpa bau cirinya.[14] Satu hibrid lain, Chantaburi No. 3, mengeluarkan bau lebih kurang tiga hari selepas dipetik, membolehkan penghantaran tanpa bau dan pada masa sama memuaskan penggemar yang sukakan bau sengit itu.[14] Pada 22 Mei 2012, dua lagi kultivar tanpa bau dari Thailand, Longlaplae dan Linlaplae, ditunjukkan kepada umum oleh Yothin Samutkhiri, gabenor wilayah Uttaradit di mana kultivar ini dibangunkan.[15]
Ada satu klon durian yang memang tidak berduri semula jadi. Klon tersebut ialah D172. Ia didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Malaysia pada 17 Jun 1989. Durian ini diberi nama "Durian Botak". Berasal dari Muar, Johor.[16]
Buah Ciku
Pokok Ciku merupakan tumbuhan yang menghasilkan buah yang boleh dimakan. Ciku banyak terjual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Ciku atau nama saintifiknya Manilkara zapota adalah dari genus Achras dalam famili sapotaceae. Seperti buah betik, ciku juga dipercayai berasal dari Amerika Tropika.
Pokok ciku merupakan tumbuhan tropika hijau yang boleh mencapai ketinggian di antara 10-30 meter. Pokok ciku berbuah sepanjang tahun tetapi penghasilannya adalah tidak seragam. Buah ciku pada amnya berbentuk bujur dimana diameternya di antara 5-9 cm dan beratnya di antara 75-250 gm. Faktor-faktor utama penentu gred dan jenis sesuatu buah ciku ialah bentuk, saiz, warna isi dan citarasanya. Di Malaysia, varieti ciku yang boleh didapati ialah Jantung, Betawi, Pasir dan Subang.
Buah ciku pada amnya mengambil masa di antara 6-8 bulan dari tempoh berbunga untuk mencapai kematangan. Walau bagaimanapun, ciku yang dipetik selepas 7 bulan berbunga adalah lebih besar dan manis.
Kajian mendapati keluasan tanaman ciku di Malaysia pada tahun 2010 adalah sebanyak 1,115 hektar dengan hanya sekitar 515 hektar sahaja yang menghasilkan buah. Sebanyak 6,050 metrik tan ciku dihasilkan pada tahun 2010 yang bernilai sekitar RM 18,149,940 (atau mudahnya disebut RM 18.1 juta). Anggaran purata hasil tanaman ciku di Malaysia adalah sebanyak 11.7 mertik tan sehektar. Tanaman ciku banyak di Pahang (226 hektar), Johor (176 ha), Kelantan (173 ha), Terengganu (145 ha), Selangor (104 ha) dan Kedah (128 ha). Lain-lain negeri menanam ciku kurang dari 100 hektar. Pasaran ciku kebanyakannya adalah untuk pasaran domestik sahaja walau pun ada sebahagian kecil yang diekspot ke Singapura dan Brunei.
Ciri-ciri morfologi
Pokok ciku adalah pokok saka yang bersaiz sederhana dan tumbuh menegak dengan ketinggian maksima 10 meter. Ia mempunyai banyak dahan dan berbentuk piramid semasa kecil dan rendang apabila cukup matang. Batangnya berwarna perang tua dengan kayu yang keras dan liat. Pokok ciku mempunyai kadar pertumbuhan yang lambat dan banyak menghasilkan buah apabila cukup dewasa (matang). Keseluruhan bahagian pokok akan mengeluarkan getah berwarna putih apabila dilukai. Ciku ada akar tunjang jika ditanam menggunakan bahan tanaman dari biji benih tetapi jika pokok ditanam melalui bahan tanaman tut, hanya akar serabut sahaja tanpa akar tunjang. Daun pokok ciku agak tebal, berwarna hijau tua , berkilat yang bersusun secara berpusar dibahagian hujung ranting. Ukuran daun sekitar 5-13 cm panjang dan 3-6 cm lebar.Bunga ciku adalah jenis 'lengkap' dimana mempunyai stigma dan bunga jantan pada kuntum yang sama. Bunganya mempunyai 6 kelopak berwarna putih dengan saiz ukuran 1.0-1.5 cm serta ditutupi dengan sepal yang berwarna keperangan. Bunga ciku dikeluarkan daripada axil pangkal daun atau pada hujung ranting. Kajian mendapati bunga ciku kembang pada waktu pagi tetapi kelopak tidak terbuka semuanya dan lazimnya bunga ciku berbau harum pada waktu malam. Kemungkinan proses pendebungaan bunga ciku oleh angin walau pun belum ada kepastian mengenai perkara ini. Bunga yang tidak yang tidak menjalani proses pendebungaan akan layu dan gugur.
Buah ciku adalah unik walau ada yang keliru dengan Buah Kiwi yang popular di Australia dan New Zealand sebagai komoditii ekspot penting peringkat antarabangsa. Buah ciku berbentuk bulat atau bujur lonjong bergantung kepada varieti. Ciku ialah buah klimakterik Saiz buah matang sekitar 4-6 cm lebar dan 5-8 cm panjang dengan berat 80 - 120 gram sebiji. Kulit buah ciku adalah nipis, berwarna perang dengan permukaan kesat dan bersisik. Buah muda agak keras, bergetah dan mempunyai rasa yang kelat kerana kandungan bahan tanin didalamnya. Lazimnya buah yang cukup matang perlu diperam selama 3-5 hari untuk masak. Biji ciku berwarna hitam, berbentuk bujur leper dan keras yang tajam dihujungnya dan ukuran 1-2 cm panjang dan 0.3-1 cm lebar.
Varieti
Terdapat 17 varieti atau klon ciku telah didaftarkan dengan Jabatan Pertanian di mana hanya 3 klon sahaja disyorkan untuk ditanam. Klon yang disyorkan adalah klon ciku Jantung (C62) , klon ciku Subang (C63) dan klon ciku Mega (C19)(belum didaftarkan). Klon Ciku Jantung berasal dari Pekan Ramuan Cina Besar, Melaka dengan ciri buah berbentuk jantung atau oval dan besar yang mempunyai isi perang kemerahan. Lazimnya varieti ini mempunyai 4 biji benih. Rasa buahnya manis dan berbau harum dengan ira yang halus. Varieti ini mempunyai purata berat 110 gram dan merupakan di antara varieti yang paling popular di tanam. Ciku Subang pula berasal dari Subang, Selangor yang buahnya berbentuk bulat bujur (epiliptik) bersaiz sederhana besar. Ciku ini juga mempunyai satu biji sahaja walau pun kadang-kala ada yang mempunyai 3 biji. Purata berat cuma 90 gram sebiji. Ciku Subang agak kurang berpasir.Ciku Mega (C19)
Pokok ciku C19 mempunyai batang yang tidak berbonggol seperti ciku Subang atau Jantung. Pokoknya cepat membesar dan relatifnya mempunyai kanopi rendah dan sesuai untuk tanaman padat. Ciku C19 mampu berbuah sebiji sahaja setiap tangkai. Ciri ini penting untuk kurangkan serangan perosak (lalat buah - Bactocera papayae) dan kulapuk hitam. Penjarangan buah juga didakwa tak perlu seperti klon lain. Buah ciku ini berbentuk simeteri dengan bahu buah yang rata. Ia mudahkan proses pembungkusan dan kurangkan kecederaan semasa pembungkusan. Berat buah lingkungan 320-400 gram sebiji (Jantung cuma 90-130 gram/biji dan Subang cuma 80-120 gram/ biji).Kadar pembentukkan buah C19 sebanyak 10.2% iaitu sama seperti ciku Subang (10.65) berbanding dengan ciku Jantung mempu mencapai 21.0%. Kajian MARDI juga mendapati potensi hasi ciku C19 sebanyak 21.9 mt sepokok berbanding dengan ciku Jantung (24.4 mt sepokok) dan ciku Subang sebanyak 24.5 mt sepokok. Jika dikira anggaran pengeluaran hasil untuk setahun paling tinggi ialah ciku Subang (8.3 mt/ tahun) diikuti ciku Jantung (8.2 mt/ tahun) dan ciku C19 (7.3 mt/tahun). Buah ciku C19 sesuai dihidangkan segar tanpa perlu dikupas.
Dari segi amalan agronomi ciku C19 sesuai ditanam pada jarak 18m x 18 m pada kepadatan 134 pokok seekar atau orang kampong suka kata sebanyak 336 sehektar. Oleh kerana C19 kurang debunga, disyorkan agar ditanam klon ciku Subang sebagai sumber debunga dalam kebun pada kadar 5-10%/ha. Benih boleh didapati dari sumber Tut atau cantuman baji dari sumber-sumber yang telah di sahkan oleh jabatan Pertanian atau MARDI. Ada penjual pasar malam yang bubuh label ciku C19 tetapi pembeli kena pastikan asal usul benih tersebut jika tak mahu tertipu.
Penanaman
Pokok Ciku sesuai ditanam di kawasan tanah lom berpasir dengan pH 5.5 - pH 7.0 dengan taburan hujan 1,250 mm - 2,500 mm setahun. Sebaiknya kawasan dibajak dahulu dan mempunyai sistem saliran yang baik. Anak benih pokok ciku boleh diperolehi daripada kaedah tut atau kaedah cantuman baji. Biji benih juga boleh dicambahkan dalam polibeg tetapi pertumbuhan adalah sangat lambat. Jika pokok ditanam dari benih tut lazimnya pokok cepat berbuah tetapi kelemahannya ialah pokok mudah tumbang jika ditiup angin kencang kerana tiada akar tunjang. Ini boleh diatasi dengan meletakkan sokongan dikeliling pokok apabila pokok matang. Bilangan anak benih tut juga tidak banyak diperolehi dari satu-satu pokok induk.Jarak tanaman ciku disyorkan adalah 9 meter x 9 meter dalam bentuk empat segi sama (123 pokok sehektar) atau dalam susunan 3 segi (138 pokok sehektar). Lubang penanaman berukuran 60 cm x 60 cm x 60 cm disediakan 3-4 minggu sebelum menanam dengan mengaulkan baja organik (10 kg) dan baja CIRP (200 gram). Bubuh anak benih ke dalam lubang penanaman dengan memotong plastik polibeg dan padatkan kemudian disiram dengan air. Sebaiknya menanam ciku adalah pada musim hujan dan berikan sungkupan dengan rumput kering atau bahan sungkupan yang sesuai. Sualamn perlu dilakukan jika ada anak pokok yang mati.
Pembajaan pokok ciku seperti pokok buah-buahan lain menggunakan baja NPK 15:15:15 untuk peringkat vegetatif dan baja NPK 12:12:17:2 untuk peringkat repproduktif. Baja tumbesaran NPK 15:15:15 diberikan sebanyak 4.0 - 5.0 kg sepokok sebanyak 4 aplikasi setahun untuk tahun pertama dan kedua. Selepas itu baja NPK 12:12:17:2 diberikan dengan kadar 1.5 - 8 kg sepokok dari tahun ke 3 hingga tahun ke 15 sebanyak 4 aplikasi setahun untuk penghasilan buah. Sebanyak 10 kg baja organik seperti tahi ayam atau tahi kambing perlu diberikan setiap pokok setiap tahun.
Kerja membuat penjarangan buah dibuat dengan membuant putik buah yang bersaiz kecil, berpenyakit , bentuk ganjik dan meninggalkan hanya 1-2 biji sahaja satu jambak buah. Kaedah ini menjamin saiz buah yang seragam dan lebih besar untuk dipasarkan selain dari tahap kemanisan yang baik. Pokok ciku berbuah selepas 2-3 tahun ditanam. Kadar hasil buah bergantung kepada kejayaan proses pendebungaan. Lazimnya bunga ciku akan keluar pada hujung ranting tua selepas musim panas. Didapati walaupun bunga ciku keluar sepanjang tahun tetapi ada dua masa pengeluaran puncak dalam setahun iaitu pada bulan Januari-Febuari dan Oktober-November.
Kawalan perosak
Antara serangga perosak tanaman ciku adalah ulat pengorek buah (Nephopterix piratis) yang mana kupu-kupu dewasa bertelur pada permukaan buah ciku yang membesar dan larvanya masuk kedalam buah yang mengakibatkan buah akan rosak dan gugur. Kawalan dengan mengutip buah yang rosak dan masukkan ke dalam plastik diikat selama 10 hari sehingga kitaran hidupnya tamat. Lalat buah (Bactocera spp) pula menyerang buah ciku yang hampir masak dengan lalat betina menyucuk permukaan buah untuk bertelur. Larva yang menetas 2-3 hari kemudan merosakan isi buah dan berair. Kawalan dengan memasang perangkap dengan feromon metil eugenol dan mengutip buah rosak dan musnahkannya. Ulat pelipat daun (Banisia myrusalis) menyerang bahagian pucuk daun iaitu kupu-kupu dewasa betina bertelur di kawasan pucuk dan larvanya merosakkan pucuk dengan memakan epidermis daun dan kawalan hanyalah dengan mengutip larva dan musnahkannya. Ulat pelombong daun (Acrocercops spp) pula menebuk lubang terowong di bahagian bawah epidermis daun dan menyebabkan daun menjadi kering dan gugur kemudiannya. Kawalan menggunakan pelekat kuning atau pelakat biru bagi menarik serangga perosak. Koya (Phaenococcus spp) merupakan serangga yang menghisap air masisan sap di bahagian pucuk dan daun. Ia akan menyebabkan serangan kulat kulapuk berdebu dan jelaga hitam. Ia boleh dikawal dengan menggunakan bahan 'minyak putih' pada 0.1% ai.Antara masaalah perosak untuk tanaman ciku C19 pula seperti lalat buah dan ulat pelipat daun (Banisia myrsusalis) dan buah gugur. Kawalan perosak lalat buah dengan umpan protin atau semburan racun Dimethoate atau Fention dengan kadar disyorkan. Pastikan tidak memetik hasil sebelim PHI tamat. Ulat pelipat daun boleh dikawal dengan semburan racun acephate setiap kali pucuk baru keluar. Kempen lebih giat untuk penanaman ciku C19 perlu dibuat lagi.
Penyakit
Terdapat 3 jenis penyakit yang menyerang tanaman ciku. Penyakit pertama adalah penyakit cendawan angin (Corticum salmonicolor) yang menyerang bahagian batang, ranting dan dahan. Terdapat miselium berwarna merah jambu pada bahagian celah-celah kulit batang diserang dan keadaan teruk meliputi sekeliling batang. Bahagian diserang akan menjadi kering dan akan mati. Kawalan dengan mencantas bahagian diserang dan musnahkannya serta menggunakan bahan kimia copper-oxychloride yang disapu pada bahagian serangan. Penyakit jelaga hitam (disebabkan oleh kulat Atalorderma satosum, kulat Microxipium spp dan kulat Nitrochambe nitrese) menyerang permukaan daun, ranting, dahan dan batang akibat cairan manis oleh patogen lain seperti koya dan teritip. Kawalan dengan musnahkan serangga teritip dan koya dengan semburan racun kimia. Penyakit puru (Agrobacterium spp) menyerang bahagian pucuk dan dahan yang kelihatan seperti membengkak seakan berpuru. Kawalan dengan mencantas bahagian yang diserang dan musnahkannya.Penuaian
Penuaian buah ciku ada 5 tahap masak yang boleh dijadikan garis panduan. Indeks 1 adalah di mana buah ciku masih hijau dan tidak akan masak sebaliknya kecut jika dituai. Indeks 2 di mana buah ciku berwarna hijau kekuningan dan akan masak dalam masa 8-10 hari jika diperam selepas tuai. Indeks 3 dimana buah ciku berwarna coklat dan akan masak dalam masa 6-8 hari. Indeks 4 buah ciku berwarna coklat kekuningan dan masak dalam masa 5-7 hari. Indeks 5 adalah paling masak di mana kulit ciku berwarna kuning kecoklatan dan masak dalam masa 0-3 hari sahaja iaitu tak sesuai untuk pasaran komersial. Cara memetik buah ciku sebaiknya dengan tangan dan memanjat pokok atau menggunakan tangga. Ada yang menggunakan galah yang ada sarung jaring supaya buah melorot ke dalam bekas. Ini bagi mengelakkan buah cedera jatuh ke atas tanah. Ada juga menggunakan buluh yang ada kon terbuka disalut kain agar buah tidak cedera.Buah ciku lazimnya tahan selama 7-8 hari yang dipetik pada indeks 2-4 pada keadaan suhu biasa. Bagaimana pun ketahanan penyimpanan buah ciku boleh dipanjangkan lagi dengan memasukkannya dalam stor penyimpanan bersuhu dingin sekitar 13-15 darjah selsius. Didapati ciku Subang tahan sehingga 1-2 minggu dan ciku Jantung sehingga 2-3 minggu melalui penyimpanan dalam stor simpanan sejuk. Kajian menunjukkan belum ada teknologi yang mampu menyimpan buah ciku melebihi 3 minggu berbanding dengan penyimpanan buah kiwi yang berbulan-bulan lamanya boleh disimpan. Dari segi gred pula buah yang beratnya lebih 100 gram sebiji adalah Gred A sementara buah ciku yang beratnya kurang dari 100 gram sebiji jatuh Gred B. Teknologi mempercepatkan buah ciku masak yang lazim digunakan di Malaysia menggunakan bahan kalsium karbid dengan kadar 20 gram setiap 1 kg buah. Caranya adalah dengan memasukkan buah dalam guni bersama kalsium karbid selama 24 jam dan buah dikeluarkan kemudiannya. Buah akan masak 2-3 hari selepas itu.
Analisa ekonomi
Analisa ekonomi penanaman ciku menunjukkan pokok ciku mula berhasil pada tahun ke 3 sebanyak 1,200 kg sehektar meningkat kepada 40,000 kg sehektar pada umur lebih 20 tahun. Dengan purata harga ladang RM 1.00 sekilogram petani akan dapat pulang balik midal pada tahun ke 8 penanaman. Nilai kini bersih projek ciku sekitar RM 41,000 dengan kadar pulangan dalam (IRR) sebanyak 24%. Nilai kadar faedah kos projek ciku (BC Ratio) pula adalah sebanyak RM 1.95 iaitu nilai positif yang menguntungkan. Kepada mereka yang ingin menceburi penanaman ciku perlu tahu teknologi penanaman ciku sehingga mampu memasarkannya. Penanam ciku kena banyak bersabar kerana pokok ciku memang lambat membesar tetapi apabila pokok sudah cukup matang kerjanya adalah menuai hasil sahaja. Potensi ciku masih besar di Malaysia.Nama lain
Ciku merupakan buah jenis klimaterik dan dikenali dengan pelbagai jenis nama mengikut tempat. Misalnya ciku dikenali sebagai ‘sawo nila’ ('sawo menila', 'sawoh menila', 'sauh menila') di Kelantan. Di Kedah, buah ciku dikenali sebagai 'sawa'.Selain itu, di luar negara seperti di Indonesia, ciku dikenali sebagai 'sawo manila', ‘sapodilla’ di United Kingdom, ‘chico’ di Mexico dan ‘naspero’ di Venezuela.
Buah Cempedak
Pokok Cempedak merupakan sejenis tumbuhan yang menghasilkan buah yang boleh dimakan. Buah Cempedak banyak dijual di pasar-pasar termasuk pasar tani, dan pasar sayur. Nama saintifiknya ialah Artocarpus integer [1], [2], [3] sinonim Artocarpus champeden (Thunb.) Merr., Artocarpus polyphema Pers.). Pokok ini berasal dari kawasan Asia Tenggara iaitu dari Semenanjung Malaysia, Brunei, Indonesia, dan pulau New Guinea/Papua. Pokok Cempedak turut diperkenalkan ke Queensland. Pokok Cempedak cepat tumbuh, dan pokok bersaiz serdahana mampu menghasilkan buah yang banyak. Di Malaysia terdapat spesies liar yang dikenali sebagai pokok Bangkong yang juga boleh dimakan. [4]
Pokok Cempedak merupakan pokok saka yang boleh mencapai ketinggian sehingga 20 meter. Ia mempunyai daun ringkas yang kebanyakkannya berbentuk elliptik. Bahagian bawah urat daun (midrib) biasanya dipenuhi dengan bulu-bulu halus. Pangkal daun berbentuk tirus hingga obtus manakala hujung daun kebanyakkannya berbentuk kupsidat. Bahagian atas daun berwarna hijau tua manakala bahagian bawah daun berwarna hijau muda. Terdapat varieti cempedak di mana permukaan atas daun dikatakan sedikit malap manakala terdapat varieti di mana ia kelihatan berkilat. Pokok Cempedak hampir menyerupai pokok Nangka. Perbezaannya jelas pada hujung tangkai daun di mana pada cempedak terdapat bulu-bulu halus berwarna coklat dihujung tangkai daun manakala pada nangka tiada bulu halus ditemui.
Pokok Cempedak adalah monoecious di mana bunga jantan dan bunga betina terdapat pada pokok yang sama. Namun begitu bunga jantan dan betina terdapat dalam jambak yang berlainan. Jambak bunga jantan dan betina pada awalnya terbentuk didalam seludang yang nipis berwarna hijau. Apabila jambak kian membesar, seludang akan mula memecah dan jambak bunga akan terbit keluar. Seludang akan bertukar warna menjadi perang dan kemudiannya akan gugur.
Pokok Cempedak jarang ditanam secara meluas kerana ia mudah diserang oleh bakteria, iaitu Erwinia caratovora di mana dahan pokok yang diserang akan mengeluarkan getah berwarna kehitaman dan akhirnya dahan tersebut akan mati.
Pokok Cempedak juga tidak sesuai ditanam dikawasan yang mudah ditengelami banjir atau tanah yang tinggi kelembapannya. Pokoknya mudah mati pada kawasan sedemikian. Bagi kawasan berpasir seperti tanah bris, pokoknya kurang menghasilkan buah seandainya pengairan dan pembajaan yang kerap tidak dijalankan.
Jambak bunga jantan dan bunga betina terdiri dari gugusan banyak bunga-bunga yang bergabung. Jambak bunga jantan selalunya tirus dan pendek dengan ukuran sehingga lebih kurang 1.5 sm x 5.5 sm dan terdapat pada hujung ranting serta juga pada dahan pokok. Manakala jambak bunga betina biasanya lebih gemuk dan besar serta hanya terdapat pada dahan pokok sahaja. Bunga jantan, setelah 4-5 hari mengorak akan reput menjadi kehitaman lalu kemudiannya gugur manakala bunga betina akan terus membesar membentuk buah.
Buah Cempedak
Pokok Cempedak menghasilkan buah secara bermusim di mana dalam setahun hanya terdapat satu musim utama. Ini berbedza dengan nangka di mana buahnya tidak bermusim. Buah cempedak dikenali sebagai 'multiple fruit' memandangkan ia terdiri daripada gugusan banyak bunga betina dalam satu jambak. Buah cempedak mengambil masa 100 hingga 120 hari untuk masak setelah bunganya mengorak.Buah Cempedak juga hampir sama dengan buah nangka di mana kulitnya dipenuhi dengan duri-duri halus yang pendek. Walaubagaimana pun buah Cempedak adalah lebih kecil dari buah Nangka.
Kandungan Khasiat Pemakanan
- Zat dalam per 100 gram
- Tenaga=117.0 (sangat tinggi, bahaya untuk pengidap kencing manis),
- Kelembapan= 66.7 g ,
- Protein= 2.5 g, lemak =0.4 g,
- Karbohidrat= 25.8 g,
- Serat= 3.4 g,
- Ash =1.2 g,
- Kalsium =40.0 mg,
- Fosforus= 5.0 mg,
- Besi =1.1 mg ,
- Sodium =25.0 mg
- Potassium= 246.0 mg,
- Karotena= 80 ug,
- Vitamin B1 =0.16 mg,
- Vitamin B2 =0.15 mg
- Niacin =0.5 mg